Thursday, August 7, 2014

Kurang kesedaran tukar Mykad

KOTA BHARU - Jabatan Pendaftaran Kelantan mengenal pasti masih ramai rakyat di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas belum memperbaharui Mykad dan mereka diarahkan menukarnya bagi mengelak didenda.

Pengarahnya, Nafisah Abdullah mengingatkan individu yang belum menukar Mykad tersebut boleh dikenakan kompaun seperti terkandung di bawah Peraturan 18 dalam Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 (Pindaan 2007).

“Kesedaran  menukar kad pengenalan bagi mereka berusia 18 tahun ke atas masih kurang dan masih ramai menggunakan kad pengenalan ketika mereka berusia 12 tahun.

“Mereka diberikan tempoh untuk berbuat demikian sehingga berusia 25 tahun dan selepas umur tersebut sehingga usia 27 tahun, mereka yang terbabit akan dikenakan kompaun mengikut tempoh setahun demi setahun jika tidak menukarkannya,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya, di sini, semalam.

Nafisah berkata, penukaran kad gantian itu penting terutama kepada pemegang kad pengenalan berusia 18 tahun kerana ia wajib diperbaharui.

"Pemegang Mykad dinasihatkan menjaganya dengan baik kerana terdapat banyak kegunaan diperoleh melalui penggunaan Mykad. Elak berlaku kerosakan atau kehilangan.

“Mykad yang menghadapi cip rosak atau pemegang bertukar alamat, sebanyak RM10 wang proses diperlukan, tetapi bagi kes ragut, rumah terbakar, banjir dan kecurian, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menggantikan Mykad tersebut, berlainan pula bagi kes kehilangan Mykad untuk beberapa kali," katanya.

Menurutnya, individu uzur atau orang kurang upaya (OKU) pula boleh memaklumkan kepada pihaknya bagi membolehkan mereka dibantu mendapatkan Mykad dari rumah ke rumah.

Sumber: sinarharian 070814

No comments:

Post a Comment