Grabove: Pakar antarabangsa bersama anjing pengesan kelmarin berhasil menemui beberapa lagi mayat mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine biarpun keadaan bergolak mengehadkan akses mereka ke sesetengah bahagian lokasi nahas yang cukup luas.
Seramai 70 anggota polis penyiasat dari Belanda dan Australia yang menghabiskan hari kedua operasi mereka mendapati kewujudan serpihan itu berselerak di sekitar kawasan seluas 20 kilometer persegi selepas hanya mampu melihat serpihan kecil sebelum ini.
“Disebabkan mereka mempunyai lebih masa hari ini, pakar terbabit mampu melakukan pencarian di kawasan lebih luas. Mereka menemui beberapa lagi mayat serta barangan peribadi milik penumpang,” kata ketua misi polis Belanda Pieter-Jaap Aalbersberg.
Biarpun tugasan itu tidak diganggu disebabkan sebahagian besar anggota pasukan terdiri daripada pakar, serangan mortar memaksa pasukan kecil penyiasat segera meninggalkan perkampungan tempat serpihan itu dijumpai.
KONVOI trak membawa mayat mangsa nahas MH17 untuk dihantar ke Belanda tiba di Kharkiv, Ukraine, semalam.
“Bunyi meriam kedengaran pada jarak dua kilometer dari lokasi kami berada dan ia terlalu dekat untuk kami teruskan pencarian,” kata timbalan ketua pemantauan misi Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) di Ukraine Alexander Hug.
Sumber: hmetro.com.my 040814
No comments:
Post a Comment