'Ah kes apa pula waktu maghrib begini' bisik hati.
"Doktor kes MVA with LOC!" kata MA saya ibarat menjawab bisikan hati ini.
Terus saya bergegas masuk ke klinik sambil hati berasa sangat tidak sedap.
Allah, ujian apa buat saya kali ini?
Saya diuji dengan kes MVA/accident melibatkan dua orang lelaki yang kedua-duanya mengalami LOC/pengsan dan amnesia/hilang ingatan.
Kami terus melakukan resusitasi. Kedua-dua mengalami kecederaan serius di kepala sehingga tulang juga kelihatan pada luka mereka. Kedua-dua GCS masih bagus tapi poor oreintation. Saya menyimpulkan kedua-duanya kemungkinan ICB / pendarahan otak dengan retak tulang kepala.
Saya segera menghubungi bilik gerakan banjir dan hospital. Kedua-duanya buntu. Buntu kerana bagaiman kami ingin membawa keluar pesakit daripada Badang. Kesemua jalan darat kami telah putus hubungan dan trak tentera yang kami harapkan akan tiba bersama bekalan berpatah balik setelah hampir tenggelam.
Saya tidak berputus asa lantas menghubungi sendiri pihak tentera darat. Mereka memaklumkan bahawa Badang tiada jalan lain yang boleh dilalui kerana air naik mendadak dengan arus deras. Begitu juga bot. Yang ada mungkin udara.
Saya hubungi pula tentera udara memohon bantuan helikopter. Pesakit semakin tenat. Mereka meminta 10 minit untuk berbincang dan mencari alternatif lain.
Kring....kring...kring telefon yang ditunggu dengan harapan menggunung ahli keluarga mangsa dan pihak perubatan saya jawab.
"Maaf doktor, helikopter kami semua telah dikerahkan ke Kuala Krai. Mohon doktor dan semua pihak bersabar kerana kami juga telah mengesahkan, tiada cara lain untuk membawa pesakit ke hospital daripads Badang" kata pegawai tentera.
Luluh hati saya mendengar jawapan itu. Dengan perasaan sedih saya terpaksa menyampaikan berita buruk itu kepada pasukan dan keluarga mangsa. Kami kini bertahan dengan hanya satu tangki oksigen sehingga esok pagi. Kk Badang diisytiharkan hospital sementara oleh saya. Jika terpaksa, maka saya akan melakukan intubasi dengan kadar oksigen yang sedikit dan tanpa sedatif pabila GCS pt drop hingga 8.
Saya meminta ahli keluarga untuk mula berkumpul dan membaca doa. Mudah-mudahan ajal mereka berdua masih panjang.Kami akan bergilir-gilir memantau pesakit. Luka yang besar kami jahit agar pendarahan berhenti.
Ketika hati baru ingin berdoa agar tidak ada lagi ujian buat pasukan saya, tiba-tiba saya terima panggilan daripada pusat pemindahan.
"Doktor ada bayi 2 bulan macam nyawa-nyawa ikan"
Saya tersentak dan tergamam....
Bersambung....
Dr Afiq Rahim
Christmas Midnight Show
Catatan keempat
=====================
Sambungan,
Saya tergamam dan tersentak mendengar. Anak kecil di kem pemindahan dalam keadaan tenat. Mereka mahu berpindah dengan trak tentera ke hospital berdekatan.
Saya menghalang.
Tidak akan ada satu pun kenderaan yang dapat masuk ke Badang. Inikan pula untuk keluar. Sahabat saya yang membawa bantuan bersama trak tentera yang terkandas tadi memberitahu bahawa trak itu bukan berpatah balik tetapi tenggelam ke perut bumi akibat arus deras. Mereka berpatah balik dengan bot. Innalillah....
Badang adalah ground zero!
Saya tidak mahu memperjudikan trak tentera sedia ada. Kami sangat-sangat memerlukannya kerana paras air semakin menjalar ke atas kaki kami. Anak kecil itu dibawa ke klinik saya. Rupa-rupanya anak kecil itu terkena sawan sebanyak 2x. Untuk bayi sekecil dan semuda 2 bulan ini hanya tepid sponging yang mampu kami offer. Baby ni kelihatan slightly dehydrated. Paru-parunya juga kedengaran crepitation. Dengan venous line sehalus rambut, saya gagal memberikan IV drips kepada anak tersebut selepas tiga cubaan.
Selang sejam anak itu kembali mendapat sawan. Selepas seminit saya bersedia untuk memberi PR diazepam. Kemudian sawannya kebah kembali. Ya Allah....kasihanilah anak ini. Saya terpaksa menyampaikan berita buruk kepada pasangan muda. Saya mahu mereka bersedia jika Allah ingin mengambil anak kecil itu.
Sama juga seperti pesakit MVA saya, saya titipkan pesanan kepada mereka utk terus berdoa dan menghubungi ahli keluarga lain. Pesakit MVA kami kini menunjukkan prognosis berbeza. Ada yang semakin sedar dan ada juga semakin tenat. Yang sedar saya khuatiri akan simptom lucid interval. Yang tenat, saya risau akan pergi dalam hembusan nafas tidur yang terakhir.
Saya keluar daripada hiruk pikuk di zon kecemasan klinik memerhatikan situasi kami. Seperti dijangka air pasang menyukarkan keadaan kami.
Jam 1130 malam, "Doktor, ada pesakit nak beranak!".
Allah, ujian lagi.
Bilik doktor saya ubahsuai menjadi labour room. Kami terputus bekalan air. Mujur kami mempunyai beberapa tong air mineral. Pesakit muda anak pertama. Selepas melakukan pemeriksaan, pesakit dalam keadaan early labour. Kini, saya sedang menunggu ibu muda melahirkan anak sulungnya, seorang bayi yang tenat bersama dua pesakit yang disyaki ICB.
Saya perlu berehat kerana saya hanya tidur 3 jam sejak semalam. Badan sudah terasa sengal dan mata sudah layu tapi otak masih memutarkan pengalaman sedih tadi.
Semasa di tikar sejadah, saya merayu kepada tuhan agar diringankan ujian kami dan diberi kekuatan kepada semua mangsa banjir. Air mata jantan mengalir deras. Adakah kami akan turut tenggelam dan meninggalkan dunia yang fana? Hanya Dia yang Maha Mengetahui.
Oh ye, ada yang berkata dalam keadaan sibuk masih sempat berkongsi cerita. Saya terpaksa. Jika tidak anda di luar tidak akan tahu situasi kami kerana wartawan pun tidak mampu meredah banjir dan membahayakan nyawa hanya untuk secebis berita biasa.
Juga, jangan lupa untuk kongsikan kisah ini kepada pihak atasan agar keluhan dan rintihan kami mangsa banjir dapat terus didengari. Teruskan menderma.
Selamat Malam Dunia Bawah Air.
Ikhlas,
Dr Afiq Rahim- DAR
Mentari yang suram
26/12/14 - 1630H
Catatan ke-5
================
Alhamdulillah malam dingin berlalu sepi. Tiada ujian baru. Hanya saya tidak lena tidur takut ibu mengandung mengalami komplikasi melahirkan anak manakala anak kecil pergi menemui Rab-Nya.
Mentari muncul daripada ufuk timur sekaan gagal memberi sinar harapan kepada kami di Kelantan. Air mengalir deras ke segenap daerah di sepanjang sungai. Jika dahulu ada pihak berani mendabik dada rumahnya takkan dinaiki air, kini menggigil kesejukan menunggu bantuan penyelamat. Pagi ini saya dihujani panggilan daripada serata pelusuk dunia. Daripada penolong pengarah hingga ke keluarga. Terima kasih kepada mereka yang prihatin kepada situasi kami.
Situasi banjir di Badang semakin parah. Di kawasan hospital 'darurat dan daif' Badang, air naik melebihi paras lutut dan terus meningkat. Mujur klinik kami telah ditinggikan selepas bencana banjir 2004 namun di sebelah bahagian ibu anak telah selamat ditenggelami air.
Situasi mangsa banjir juga bertambah parah. 2 pusat baru dibuka menjadikan 5 pusat pemindahan di sini dengan jumlah mangsa mencecah 3500 orang. Di Kem Kijang dan SK kedai Buloh 1 air telah naik sedikit demi sedikit sehingga ada mangsa dipindahkan. Dari satu pusat ke satu pusat mangsa banjir berhijrah menyelamatkan diri.
Masih ramai lagi mangsa yang belum diselamatkan. Bot penyelamat terakhir kami di sini akhir terbalik ditepis arus deras. Dengan ini tiada lagi bantuan menyelamat di kawasan kampung yang sukar dimasuki trak tentera. Hanya Allah mampu menyelamatkan mereka.
Bekalan makanan dan air bersih amat terhad. Elektrik masih belum dipotong tetapi khabarnya malam ini kami akan bergelap. Penyakit bawaan air telah mula menyerang seperti food poisoning dll. Pusat pemindahan seperti kem pelarian. Mereka tetap juga lemas tetapi di dalam kesesakan manusia.
Pesakit kritikal saya kini bertambah kepada 5 orang. Pagi tadi seorang budak 3 tahun mendapat lelah akibat jangkitan kuman dan keadaan lemah walaupun selepas 2 nebs and IV hydrocort. Seorang lagi juga pesakit seorang budak dengan diagnosis denggi berdarah in decompensated shock dalam fasa kritikal. Kedua-duanya dapat diresusitasi dengan jayanya. Namun mereka perlu pengawasan berterusan di hospital.
Pasti ramai yang tertanya-tanya keadaan anak kecil itu. Alhamdulillah berkat doa kalian, bayi itu masih hidup. Begitu juga pesakit kemalangan saya yang mana kedua-dua telah sedarkan diri dan dalam keadaan stabil.
Harapan baru yang kelam kini muncul kembali. Trak bantuan tentera tiba pagi ini membawa bekalan kepada kami. Pihak tentera juga bersetuju untuk membawa pesakit saya keluar untuk dirujuk ke hospital. Berita baik buat kami dan seluruh Malaysia yang mengikuti diari banjir di Bandang.
Dari pagi hingga tegak matahari. Dari sesak di kecemasan hingga reda. Trak masih belum muncul. Khabarnya masih memunggah bekalan.
Jam 3 ptg, saya mendapat berita yang memdukacitakan.
Bersambung...
Dr Afiq Rahim, DAR
Sinar di sebalik Mendung
26/12/14 - 2230H
Catatan Ke-6
=============
Sambungan
Berita mendukacitakan itu berbunyi
"Dr, pegawai kami telah membuat pemeriksaan awal di jalan perhubungan ke Badang. Pagi tadi kami masih boleh melalui dengan trak itu pun air sudah menenggelami lampu trak kami. Kini bukan setakat lampu sahaja tenggelam bahkan mungkin trak tentera itu sendiri akan karam ditelan arus deras." kata koordinator tentera di sini.
Saya kelu sambil memandang wajah waris pesakit yang melihat saya dengan penuh harapan. Mereka menunggu dengan sabar transportasi ke hospital.
"Maaf, tiada jalan lain kecuali helikopter..." saya memberitahu mereka dengan perasaan sugul. Mereka juga tunduk mengenang nasib masing-masing. Awan mendung berarak di atas kami. Di saat kami menjangkakan ribut pasti melanda, tiba-tiba sinaran mentari memancar di sebaliknya.
Saya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
"Tuan doktor, kami telah berjaya mendapatkan bantuan helikopter tentera. Dijangka sampai petang ini. Kami akan memberitahu pihak tuan jika kami akan berlepas." Ya Allah, saya mendongak ke langit bersyukur kerana secebis berita gembira ini. Namun seperti sebelumnya harapan kami semakin malap. Jam berganti waktu. Tiada panggilan daripada pihak mereka. Wajah waris dan staff daripada girang bertukar resah ibarat seorang ibu menunggu kepulangan anaknya di pintu rumah.
Ketika harapan itu semakin kabur, akhir saya menerima panggilan pihak tentera udara yang mereka akan berlepas ke sini. Kami bergegas meredah banjir ke kawasan helipad di SMK Badang. Helikoptar tentera kelihatan berlegar-legar di ruang udara untuk mendarat.
Jam 7.15 malam dalam kepekatan hitam, semua 5 pesakit kritikal saya berjaya diterbangkan ke HUSM. Hati tidak henti2 berzikir mensyukuri pertolongan ini. Di udara, sebahagian Kota Bharu bergelapan. Kawasan saya Badang telah bertukar menjadi Pulau Badang dengan dikelilingi sungai-sungai berarus deras. Kenderaan berpusu-pusu keluar daripada bandaraya ini. Chaos!
Kami selamat mendarat di padang HUSM sekitar jam 740 malam. Saya disambut sahabat saya Mejar Afnan. Pesakit dipindahkan segera dan saya perlu bergegas pulang ke Hospital Darurat Badang. Seorang pesakit disyaki stroke baru tiba di hospital dan sedang menunggu saya.
Sepanjang perjalanan pulang di udara, barulah beban di pundak saya terasa ringan. Lega. Kelegaan itu menerbitkan segala kesakitan yang disembunyikan badan semasa bertugas. Kepala saya berdenyut kuat mungkin akibat deruman enjin helikopter berfrekuensi tinggi.
Setiba di 'klinik', Allah anugerahkan lagi pertolongan kepada saya. Seorang doktor daripada Bachok melapor diri. Saya mohon berehat sebentar. Belum sempat kaki melangkah keluar, seorang waris datang dan memberitahu bahawa ahli keluarganya kini sesak nafas akibat lebihan air dalam paru-paru. Pesakit sudah 4 hari tidak dialisis!
Allah.....saya mengarahkan pesakit segera dibawa ke sini. Oh ya, saya juga mempunyai 3 org ibu yang dalam fasa awal mahu melahirkan anak manakala ibu muda itu masih belum melahirkan anak. False labour.
Hehehe.....saya masih belum boleh berehat rupanya. Saya mohon sahabat baru saya take over sebentar utk saya bersolat dan mengemas diri.
Terima kasih tentera darat dan udara.
Terima kasih agensi kerajaan yang terlibat.
Terima kasih rakyat Malaysia yang mendoakan kami.
Terima kasih Malaysiakini yang mensensasikan statement kontroversi saya.
Terima kasih Allah akan ujian-Mu yang mengajar kami banyak ilmu baru.
Teruskan berdoa dan menderma. Percayalah, Allah mendengar rayuan kita semua.
Salam Bisikan Sayu dari Pulau Badang.