Selasa, 30 DISEMBER 2014 11:50AM
SYDNEY: Pakar penerbangan Australia berkata, kesilapan manusia membawa kepada kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 selepas juruterbang membawa pesawat itu ke dalam zon bahaya yang diketahui di ruang udara Laut Jawa.
Neil Hansford berkata, kapten warga Indonesia atau pembantu juruterbang warga Perancis pesawat itulah yang merancang "pelan penerbangan berbahaya" itu.
Beliau berkata, juruterbang senior akan mengelak melalui kawasan berkenaan di mana pesawat dipercayai akan terhempas dan tidak boleh terbang melaluinya.
"Mereka memanggilnya 'kilang ribut petir'. Anda merancang untuk mengelaknya, anda tidak merancang untuk melaluinya," kata Hansford kepada Nine Network.
Beliau berkata, sesiapa yang merancang penerbangan itu telah membuat satu kesilapan besar.
"Kami tidak tahu sama ada ia pembantu juruterbang atau kapten sendiri...sama ada mereka membaca laporan meteorologi yang diberikan ketika di Surabaya.
"Bagaimana pula tahap komunikasi sesama mereka? Bahasa asas seorang itu ialah bahasa (Indonesia), bahasa seorang lagi pula Perancis," katanya.
Hansford menyimpulkan bahawa nahas berkenaan sebagai kesilapan juruterbang.
"Saya sudah katakan sebelum ini, ia bukan masalah teknikal," katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment