Tuesday, December 30, 2014

QZ8501: Gambar terakhir

Pontianak: Seorang penumpang sempat merakam gambar beberapa minit sebelum dia bersama isteri serta dua anak berangkat menaiki pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandara Juanda, Surabaya, pagi semalam.

Gusti Made Bobi Sidharta dari Malang, Jawa Timur menaiki pesawat itu untuk bercuti di Singapura bersama isteri Donna Indah Nurwatie, 39, serta dua anak perempuannya, Gusti Atu Putriyana Permata, 19, dan Gusti Ayu Made Keish Putri, 9, sebelum tragedi menimpa mereka sekeluarga.

Bobi kemudian memuat naik gambar itu dalam Blackberry Messengernya (BBM) dengan meletakkan status 'berangkat'.

Jirannya, M Ridwan berkata, dia menerima gambar dihantar Bobi beberapa minit sebelum berlepas.

"Saya seolah-tidak tidak percaya kerana Bobi sekeluarga berada dalam senarai penumpang pesawat malang itu. Malah, sebelum ini, Bobi ada memberitahu dia mahu bercuti bersama keluarganya di Bali dan Lombok dan bukannya Singapura.

"Petang kelmarin, dia datang ke rumah saya dan memberitahu mahu ke Bali dan Lombok. Tapi saya tidak sangka dia menukar niat untuk bercuti ke Singapura," katanya.

Empat beranak itu antara 162 penumpang dan anak kapal AirAsia Indonesia yang dipercayai hilang selepas terputus hubungan dengan menara kawalan di Jakarta pada jam 6.17 pagi.

Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 138 penumpang dewasa, 16 kanak-kanak, seorang bayi serta tujuh anak kapal hilang selepas 47 minit berlepas dari Surabaya.

Artikel ini disiarkan pada : 
Isnin, 29 Disember 2014 @ 7:44 PM


Sumber http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment