Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an lemas di dalam tasik di Universiti Malaya (UM) di sini, pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian pada 8.45 pagi itu, seorang anggota keselamatan UM melihat mangsa masuk ke dalam tasik berkenaan sebelum mengapungkan diri ke tengah.
Katanya, anggota keselamatan terbabit memerhatikan dari tebing dan cuba bertanyakan tentang apa yang cuba dilakukannya tetapi mangsa bertegas supaya dirinya tidak dipedulikan.
Menurut beliau, sebaik sampai ke tengah tasik, lelaki itu dilihat tenggelam timbul sebelum lemas beberapa minit kemudian.
Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan anggota keselamatan terbabit tidak sempat menyelamatkan mangsa.
Azlee berkata, tidak lama selepas lemas, lelaki Indonesia itu dapat dibawa naik ke tebing oleh anggota terbabit bagaimanapun mangsa sudah tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa yang dipercayai pekerja pembinaan di sekitar UM. Siasatan kami juga mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
No comments:
Post a Comment