KUALA LUMPUR - “Setelah berdepan detik cemas angin kencang masuk ke bahagian ruang tamu, saya pergi ke bilik untuk tutup tingkap. Masa tu saya nampak hanya tinggal langsir yang ditiup angin”.
Demikian menurut ibu tunggal, Sunita Rosti, 35, salah seorang mangsa tiga unit Perumahan Awam, Jalan Loke Yew, Cheras, di sini, yang dindingnya tercabut dan terjejas akibat ribut melanda ibu negara, petang kelmarin.
Bercerita lanjut, Sunita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dia berada dalam bilik di unit rumahnya di tingkat 10, sebelum pergi ke ruang tamu untuk menutup pintu beranda mengelakkan tempias hujan.
Namun menurutnya, angin terlalu kuat sehinggakan dia tidak mampu menarik pintu beranda dalam masa sama terpaksa bertahan melawan angin kencang.
“Tak semena-mena saya turut ditolak angin dan terduduk ke belakang di ruang tamu. Masa tu saya baru teringat tingkap belum tutup jadi saya bergegas masuk bilik.
“Nasib saya baik kerana biasanya kalau nak tutup tingkap bilik masa hujan, saya akan berlari dari ruang tamu. Tapi semalam (kelmarin) dengan kuasa ALLAH SWT, saya hanya berjalan ke bilik sebelum sedar hanya tinggal langsir di dinding. Kalau saya berlari, tak tahulah apa
nasib saya, mungkin dah jatuh agaknya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Sunita, keadaan dalam biliknya bagaimanapun seperti tidak ada apa yang berlaku kerana semuanya dalam keadaan baik.
“Almari tempat di mana saya letakkan al-Quran di atasnya tidak terjejas meskipun terletak betul-betul di tepi dinding. Buku-buku dalam bilik pun tak teralih.
“Bila sedar dinding papan dah tercabut, jiran sudah mula datang ke rumah saya tolong alihkan barang.
“Malam tadi (semalam) saya hanya tidur di rumah seorang diri kerana anak-anak berada di Klang. Memang tak lena tidur dibuatnya,” katanya yang menyifatkan dinding papan biliknya itu kelihatan amat kukuh.
Cadar, selimut tebal jatuh dibawa angin
Dalam pada itu, berbeza dengan sebuah lagi unit di tingkat 13, apabila dinding papan dua bilik kediaman itu tercabut ditiup angin.
Suri rumah, Erdawati Rahman, 40, berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum mendapat panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu.
“Saya tiba di rumah pada jam 6.30 petang keadaan di ruang tamu berselerak macam kapal karam. Barang atas meja semua jatuh dan ada yang pecah. Angin terlalu kuat.
“Alhamdulillah kami tiada di rumah masa tu. Kalau ada, tak taulah apa nasib kami. Ada cadar dan selimut tebal jatuh ke bawah dibawa angin,” katanya.
Tambahnya yang telah menghuni di situ sejak tiga tahun lalu, sebelum kejadian, keadaan dinding papan tidak menunjukkan sebarang kerosakan.
“Bila jadi begini, trauma memang ada. Malam tadi (semalam) kami dapat tajaan daripada Umno Cheras untuk tidur di hotel dan hanya suami saya yang tidur di rumah. Itu pun dia tak dapat lena,” katanya sambil berharap kerja membaiki dinding bilik dapat disegerakan.
DBKL pasang dinding batu bata
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian berkenaan, dinding bilik di tiga unit kediaman tingkat 10, 13 dan 18 tercabut.
Katanya, unit di tingkat 18 bagaimanapun tidak berpenghuni.
“Tindakan segera telah dibuat dengan memasang dinding batu bata di unit terlibat dan kerja-kerja baik pulih tersebut di jangka akan siap dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
“Sebagai tindakan susulan daripada kejadian tersebut, Bahagian Penyelenggaraan, Jabatan Pengurusan Perumahan & Pembangunan Komuniti DBKL akan membuat bancian ke atas unit-unit di kawasan Perumahan Awam Jalan Loke Yew bagi mengenal pasti tahap
kerosakan seperti dinding bilik yang diperbuat daripada kayu terutamanya unit–unit tepi,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment